Kau perempuan.

Posted: July 23, 2014 in Uncategorized

Perempuan,
Tetap mengintaimu dari jauh
Saat jiwa lagi rapuh.

Perempuan,
Ada yang harus kau mengerti
Saat jiwa lagi sepi.

Perempuan,
Mungkin cuma perlu diam
Saat semua jadi rencam.

Peluk tubuh sendiri agar bisa jadi gagah.

20 Julai 2014 – 23:24 pm.

Assalamualaikum dan hi :)

Memandangkan tengah bising isu peguam UMNO yang telah mengeluarkan kenyataan di Malaysian insider berkaitan DS Wan Azizah tidak boleh jadi MB kerana haid ‘mensus’. Maka, ingin saja untuk berkongsi bait kata dari Kak Fadh, seorang wanita yang sangat saya kagumi.

Bekas Perdana Menteri Norway, Gro Harlem adalah seorang wanita yang telah menyertai parti Labour dan menjadi ahli semenjak umurnya 7 tahun. Di usia itu kita masih teragak-agak mahu membawa anak kita menyertai demonstrasi atau tidak.

Beliau juga sempat berkhidmat selama tiga penggal sebagai Perdana Menteri Norway.

Selama itu dia berkhidmat tanpa isu haidhnya tetapi kerana khidmat baktinya.

German menjadi juara piala dunia tatkala negaranya dipimpin oleh seorang wanita.

Ratu Balqis dikisahkan di dalam Al Quran sebagai pemimpin wanita yg sangat powerful.

Saydatina Aishah pernah memimpin salah satu perang yg paling historik dalam sejarah Islam.

Shifa’ pula menjadi orang kepercayaan menjaga hisbah.

Ketika di Edinburgh, saya cukup berbangga dengan bekas Presiden Ireland seorang wanita yang menerima Doktor Kehormat Undang-undang dari University Of Edinburgh.

Rafidah Aziz menjadi Menteri yang sangat efektif dan tiada siapa peduli kitaran haidhnya.

Gabenor Bank Negara kita menerima pengiktirafan dunia sebagai gabenor terbaik dunia dan kitaran haidhnya tidak diambil kira pun.

Tengok sejarah Ratu Acheh memerintah dan Ratu Shajaratuddur dalam sejarah kepimpinan. Tidak ada isu haidh menyalahi kepimpinan mereka.

Wan Azizah mencatat sejarah menjadi Ketua Pembangkang wanita pertama di Malaysia. Dia diangkat oleh barisan pembangkang tanpa perlu mengetahui dia masih didatangi haidh atau tidak.

Amat menyayangkan, kita punya mala fide untuk memburukkan orang lain tetapi rupanya kita telah menghina seluruh sejarah kepimpinan wanita.

MAHASISWI DAN PEMBERDAYAAN WANITA.

Melihat kepada dunia wacana pada hari ini, jelas menunjukkan betapa ramai anak muda kita sudah mula menyedari akan kepentingan dunia pembacaan atau mungkin saya boleh pergi dengan lebih dalam lagi iaitu dunia intellektual. Keterlibatan anak muda dengan wacana-wacana yang sihat dan segar ini seolah-olah memberikan satu simbol kepada kita bahawa anak muda kini sudah mula menjinakkan diri dengan bahan-bahan pembacaan yang luar dari kebiasaan mereka. Jika dulu ‘trending’ anak muda hanyalah memberi fokus kepada bahan bacaan yang biasa-biasa seperti majalah dan buku-buku berunsurkan pengalaman penulis, maka pada hari ini saya kira ianya sudah berubah. Anak muda pada hari ini sudah berani mengorak langkah jauh ke hadapan dalam pembacaan.

Bila kita perhatikan sejarah pada zaman Islam mahupun Eropah, kita akan dapati ulama-ulama dan cendekiawan-cendekiawan terdahulu telah menceburi bidang pembacaan secara kritikal ini seusia muda lagi. Malah ada di antara mereka adalah yang mengetuai revolusi mahupun perubahan iklim ekonomi dan politik negara. Maka, tidak hairanlah pada hari ini kita boleh menadah kita-kitab kuning mereka

Namun pada hari ini wacana intellektual juga sudah mula dibanjiri oleh segelintir anak muda yang punya kesedaran yang tinggi. Bukan saja mereka menyertai sebagai pendengar bahkan anak muda masa kini juga sudah mula menyertai wacana ini sebagai salah seorang pembentang. Ini sesuatu yang harus menjadi kebanggaan pada anak muda di Malaysia.

Namun berbeza pula dengan kaum wanita yang sering dipersoalkan dimana mereka dalam dunia wacana intellektual pada hari ini. Tidak saya nafikan bila saja persoalan ini mucul, maka secara jujur saya juga memikirkan perkara yang sama. Mujur saja saya mempunyai kenalan yang selalu memberi semangat untuk hadir ke wacana-wacana yang kebanyakkannya di hadiri oleh kaum lelaki. Namun kami selalu menganggap walaupun lelaki ramai yang menghadiri tetapi bukan penghalang kepada kami untuk tidak terlibat sama.

Antara respon yang saya perolehi adalah kaum wanita ini sesuai dengan naluri mereka yang lebih dekat dengan perkara-perkara ringan. Sebab itu dimana-mana wacana intellektual yang selalunya membincangkan persoalan yang berat seperti falsafah, kenegaraan, politik dan sejarah golongan wanita sangat sedikit bilangannya. Antara lain lagi adalah, kebanyakkan wanita ini lebih suka hadiri ke wacana-wacana seperti baitul muslim, bagaimana membina keluarga yang bahagia dan sewaktu dengannya. Antara sandaran hujah adalah kerana wacana-wacana sebegitu lebih dekat dengan jiwa dan naluri sebagai seorang wanita. Yang suatu masa nanti menjadi ibu dan tugas ibu itu lebih dekat dengan mendidik anak-anak.

Nawal El-Saadawi adalah antara contoh tokoh wanita yang saya kira mahasiswi di Malaysia ini patut teladani. Merujuk kepada buku ‘Dunia Pemikiran Intellektual’ yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman, di Mesir, Nawal El-Saadawi cukup popular dalam kalangan penggerak feminism. Beliau dikenali sebagai seorang sasterawan yang kental dan cukup kritikal terhadap tindak-tanduk kerajaan Mesir. Sikapnya yang lantang saat melakukan kritikan, seperti tergambar dalam buku-bukunya, sentiasa memberikan akibat buruk. Walaupun begitu, beliau tidak pernah berundur daripada menyatakan kepercayaannya. Beliau cukup dikenali bukan sahaja di Mesir malah di dunia dengan beberapa karyanya diterjemahkan secara meluas.

Selain dari sosok dari Negara Arab ini, sosok wanita yang cukup berani di Nusantara seperti Kartini jua harus menjadi inspirasi kepada kita. Kartini bukan satu nama yang asing bagi peminat karya dari negara seberang. Merujuk kepada buku ‘On Feminism and Natinalism’, buku itu menukilkan beberapa surat-surat Kartini kepada teman rapatnya Stella. Beliau menceritakan tentang perjuangan beliau semasa menuntut ilmu di negara barat. Surat-surat keberanian beliau dalam menentang tradisi jawa yang banyak menindas wanita cukup membangkitkan semangat. Keberanian semasa usia muda beliau yang tetap mahu mendapatkan pendidikan sepertimana lelaki jawa. Dan, semua ini tetap menjadi inspirasi buat wanita.

Sekiranya sikap keberanian dalam diri wanita tidak dikedepankan, 10 tahun kehadapan dimana posisi wanita dalam dunia yang selalu dianggap menjadi dominasi lelaki sedangkan ruang dan peluang cukup luas untuk kita terlibat. Ya, semuanya harus bermula seusia muda semasa zaman universiti lagi. Pemberdayaan ini harus disebar luas agar wanita tidak lagi dilihat sebagai manusia kelas kedua di mata dunia. Dengan melibatkan diri dalam wacana-wacana berat, berani kehadapan mendepani arus perdana, rajinkan diri membaca serta menjadi pakar dalam bidang yang diceburi antara perkara yang harus dititikberatkan oleh wanita muda di Malaysia.

Oleh kerana itu, wanita juga perlu merancang kehidupan selepas graduasi dengan penuh teliti. Mahu jadi apa. Perlu jadi apa. Semoga mempunyai impian seperti mana para lelaki yang sering kedengaran mahu menjadi juara itu juara ini. Jaguh itu ini. Pakar itu ini. Semoga terselit impian mahu menjadi pakar dalam bidang yang diceburi

Seraya itu, memetik kata seorang senior yang di segani, Puan Fadhlina Sidek, menjadi mak bukan setakat menyusu anak dan memasak lauk pauk untuk di upload di FB dan instagram,. Ia lebih dari itu. Sebab itu ada gelaran Madrasah Ummi. Mak yang bukan diprojekkan untuk keperluan peribadi ahli keluarga, tetapi untuk manfaat ummat. Ya, semoga kita mampu jadi wanita yang mampu beri manfaat kepada wanita lain. Semoganya!

Perjuangan.

Posted: May 23, 2014 in Uncategorized

Kerna, itu namanya per-Juang-an.

Pada sebuah perjuangan

Yang harus dilakukan

Adalah

Jalan terus

Usah pusing belakang

Yang belakang itu pahit

Yang hadapan pasti ada manis

Kau mengerti?

Jangan undur dulu

Sebelum berjuang

Adat berjuang begitu rentaknya

Iramanya dan lagunya

imbh – 23 mei – 2.06pm

“Aku pernah muda”

Posted: May 12, 2014 in Uncategorized

Assalamualaikum. Moga cinta terus mekar buat kita.

Aku pernah muda

10270433_646118658800961_4105791161190930809_n(Tajuk yang menggandingkan saya bersama Dr.Zaharuddin dan Ustaz Azlan Nabees Khan)

Bersempena dengan Youth Ace 2014 yang dianjurkan oleh team Langit Ilahi pada 10 mei , maka saya dengan berbesar hati mahu menukilkan beberapa perkara berkaitan dengan tajuk yang telah diberikan kepada saya iaitu “Aku pernah Muda”. Awalnya apabila saya menerima tajuk ini, gambaran awal yang muncul di benak fikiran saya adalah aku senantiasa akan muda. Tetap akan muda sampai bila-bila selagi diizinkan Tuhan. Perkara kedua yang muncul pula adalah apa definisi muda pada kita? Dan defisi itu yang menentukan arah tuju dan pergerakan kita mahu kemana dan bagaimana. Perkara ketiga yang bermain di minda saya adalah, ada apa dengan muda? Ataupun saya boleh kembangkan lagi, apa yang anak muda mampu lakukan? Kenapa perkataan muda itu seolah-olah sesuatu yang dianggap ‘sakral’ secara literalnya. Kenapa perkataan tua tidak pula kita teruja bila mendengarnya. Aku pernah tua ataupun tidak salah menjadi tua. Itulah beberapa persoalan yang saya sempat fikirkan untuk seketika cuma. Betapa muda itu terlalu signifikan kepada saya kerana usia. Mungkin tidak pada orang lain.

Apa tafsiran muda pada kita?

Soalan ini yang harus kita lunaskan terlebih dahulu sebelum kita pergi kepada persoalan-persoalan yang bersifat lebih praktikal. Persoalan definisi ini pada saya amat penting untuk dirungkaikan kerana pada definisi itu lahir satu yang dinamakan sebagai persepsi yang akan membentuk akal fikiran dan tindak tanduk kita di masa hadapan. Maka definisi penting untuk sama-sama kita fahamkan diri sendiri. Apakah muda itu hanya tafsiran pada umur semata. Jika pada umur semata, maka ramai yang muda namun tidak terlihat muda. Jika muda itu ditafsirkan dengan hanya pada umur, maka pada saya muda bukan pada umur saja. Muda itu bukan setakat pada usia namun juga pada semangat dan keberanianya. Muda yang datang dengan tenaga yang segar dan bersih kelihatan punya ide yang bernas sentiasa. Itu tafsiran muda yang saya idamkan!

Ada apa dengan anak muda?

Saya kata macam-macam ada dengan anak muda ini. Bermula dari usianya, semangatnya, tenaganya, ideanya dan kerjanya. Semuanya ada pada anak muda. Kisah Baling suatu ketika dahulu juga dimulakan dengan sekumpulan anak muda yang membantu para petani mempertahankan hak mereka. Ya, sekumpulan anak muda. Suatu ketika dahulu merupakan anak muda yang keluar dari bilik kuliah semata-mata untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Ternyata sampai begitu sekali kuasa yang ada pada anak muda pada tahun 90 an. Kisah Demontrasi Baling itu merupakan penyebab kepada kewujudan AUKU di Malaysia. Kuasa anak muda!

Anak muda ini akan tetap terus mekar selagi mana ia dibimbing oleh ilmu.

Terima kasih Langitilahi.com kerana menjemput saya. Suatu pengalaman yang amat menarik.

Catatan kenangan
13 May 2014 – 12.03 am

Jalan sambil bicara?

Posted: May 6, 2014 in Uncategorized

Doakan saya moga terus kuat dan gigih mahu menulis. Idea datang yang tidak harus dipersiakan. Doakan saya!

Ada ketika, kita bukan tidak memerlukan manusia lain. Cuma, kita perlukan masa sendiri. Yang lama. Aku tahu apa yangg diperbuat oleh mu jauh disana. Aku terus mendoakan. Semoga baik-baik saja ya teman. Semoganya!

Terima kasih :)

(Petang nanti ada presentation!)
6 mei 2014 – Selasa

Biar.

Posted: April 28, 2014 in Uncategorized

Aku biarkan saja
Pada yang tetap akan bicara
Semau mereka
Yan bukan-bukan
Yang tidak ketahuan

Kau mahu tahu, teman?
Aku sering pusing
Runsing
Pening
Akan yang namanya sebuah perhubungan
Sering goyah
Rapuh
Ampuh
Tiba-tiba aku
Rasa mahu lari
Semahu aku
Dengan jauh sekali

Kerna aku manusia yang punya rasa.

(Waktu aku tulis ini, sumpah aku lagi pusing. Pada yang namanya kehiudpan. AH! Itu biasa. Dunia ini memang sesuatu yang menggusarkan jiwa kan, teman.)

28 April 2014- Library