Hakikat kebebasan seorang muslimah

Posted: June 9, 2011 in Uncategorized

بســــــــــم الله الرحمن الرحيم

Assalamu’alaikum warahmatullah

 

Biri-biri, Serigala dan Pengembala

Apabila kita lihat pada seekor biri-biri, kita ketahui bahawa pada biri-biri itu tiada senjata seperti taring, kuku, tanduk, gading, ataupun taji yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Kita juga ketahui bahawa biri-biri adalah binatang ternakan yang menjadi buruan sang serigala, anjing liar, dan haiwan lainnya. Dan kita semua tahu betapa buasnya serigala, tidak dapat tidak pasti akan diterkam dan dibaham biri-biri buat santapan. Jika biri-biri terselamat dari dibaham, ia mungkin akan mati akibat kecederaan dan terkejut/takut atas serangan.

Dalam menghalang serigala dari membaham, atau memelihara biri-biri dari diserang dan dibaham, maka sering penternak akan mengupah pengembala untuk menjaga biri-biri. Juga memelihara anjing pengembala/penjaga bagi mengawal biri-biri, menghalau dan melawan serigala yang datang tanpa diundang.

Namun, masih ada lagi biri-biri yang terpisah dari kawanannya, atau yang tidak ada penjaganya. Dan biri-biri seperti ini mudah menjadi santapan sang buas.

Perumpamaan

Dapat kita lihat bahawa biri-biri yang ada penjaganya, lebih selamat berbanding biri-biri yang bersendirian. Sebagai seorang muslimah, Islam menjadikan sebahagian dari syariat untuk menutup seluruh tubuhnya (auratnya). Sebahagian dari kaum muslim sendiri menganggap bahawa pensyariatan ini (menutup tubuh/aurat) adalah satu kekangan dan tidak menyenangkan. Seperti satu siksaan dan sekatan di dalam kehidupan, tiada kebebasan.

Satu perkara yang perlu kita fikirkan, apakah biri-biri yang dijaga oleh pengembala dan anjing pengembala itu lebih bebas meragut, ataukah biri-biri yang tidak dijaga oleh pengembala dan anjing pengembala itu lebih bebas untuk meragut? Pasti jawapannya biri-biri yang dijaga itulah lebih bebas kerana ia berada dibawah pengawasan, yakni adanya penjaga yang akan menghalang serigala dari menerkam. Ya, ia tidak dapat pergi merata kerana ia akan dihalang oleh pengembala dari berlegar-legar, namun ia selamat. Dengan adanya penjaga, maka ia tidak perlu terlalu merisaukan perihal serigala dan boleh berasa aman dan selamat.

Begitulah perihalnya seorang muslimah. Hijabnya itu (menutup aurat) melindungi dirinya dari “serigala” buas yang bertopengkan manusia. Tidak dinafikan, “serigala” ini masih melihat dan merenung walau telah berhijab, kerana itulah fitrahnya sang buas, namun, beza antara muslimah yang mempunyai penjaga (menutup aurat) dengan yang tiada penjaga (tidak menutup aurat) adalah besar. Pasti sang buas akan lebih memilih wanita yang tidak berhijab, yang membiarkan dirinya tidak dijaga untuk dijadikan mangsa.

Tutup badan tetapi belum tutup aurat

Sebahagian besar dari wanita telahpun berusaha menutup aurat dan bertudung, namun ada antara mereka yang tudungnya tidak sempurna, pakaiannya ketat dan jarang serta menampakkan bentuk badan. Apakah yang kita fikirkan apabila kita melihat seorang pengembala yang buta dan anjing pengembala yang ditambat menjaga biri-biri? Sudah pasti serigala tetap dapat menerkam bukan? Begitulah juga perihal aurat yang tidak ditutup dengan betul. Ia sama seperti tidak menutup aurat kerana aurat itu bukanlah sekadar warna kulit dan warna serta helaian rambut. Bahkan lebih dari itu. Pakaian yang menutup aurat ialah pakaian yang bukan sekadar “fit”, tetapi pakaian yang labuh yang tidak melekat, tidak mengikuti bentuk badan dan yang tidak menampakkan saiz badan (kerana terdapat pakaian yang tidak melekat dan tidak sendat, tetapi masih menampakkan bentuk dan saiz badan). Ia adalah pakaian yang tidak jarang yakni tidak dapat dilihat menembusi pakaian tersebut. Ia bukanlah pakaian yang menarik perhatian, juga tidak menyerupai lelaki.

Keluar bermusafir

Begitulah juga perihalnya mahram yang mendampingi seorang wanita, ketika di luar dan ketika berpergian (musafir). Mahram adalah penjaga kedua selain hijab seperti mana bagi biri-biri, ada pengembala dan anjing pengembala yang menjaga. Dengan adanya mahram, keselamatan wanita lebih terjamin. Sekurang-kurangnya, seekor serigala masih tidak mampu membaham.

Kita ketahui bahawa yang akan membawa biri-biri ke padang ragut adalah pengembala dan bukan selainnya. Ini kerana ia adalah tanggung jawab bagi si pengembala. Apakah seorang yang tidak dipertanggung jawabkan akan dengan mudah mengejar tanggung jawab dan beban yang hadir bersama tanggung jawab itu? Akan sanggup mengangkat barang yang berat? Akan sanggup berkejar mencari ubat? Akan sanggup bersusah untuk menyenangkan yang lain? Akan bertanggung jawab atas semua yang terjadi? Begitulah perihal seorang mahram yang mana tanggung jawabnya adalah menjaga mereka yang telah dipertanggung jawabkan kepadnya. Siapa lagi yang akan bertanggung jawab apabila terjadi sesuatu jika bukan mahram?

Bukankah suatu urusan berpergian itu lebih ringan dengan adanya orang yang tolong mengangkat beban (beg) yang berat? Yang tolong menukar tayar ketika pancit? Yang berkejar mencari makanan ketika lapar? Yang berusaha mencari ubat ketika sakit? Yang menjaga keselamatan dan kebajikan? Jelas, bermusafir itu lebih mudah dengan bersama mahram dari bersendirian.

Berhati-hati

Mungkin sebahagian akan kata, “tetapi lelaki ini (bukan mahram) baik” atau “dia (teman lelaki) sudah janji akan setia” atau mungkin juga “dia seorang ustaz, apa yang dia akan buat?” dan mungkin ayat yang selainnya. Beringatlah bahawa bersama seorang ustaz itu syaitan yang sentiasa menghasut dan membisik. Ingatlah bersama seorang yang “terpercaya” itu nafsu yang menjadi fitrah manusia. Bukan kita bersangka buruk, tetapi berjaga-jaga. Kerana manusia itu tidak terlepas dari dosa dan kelemahan. Kerana manusia itu ada bersamanya fitrah ciptaannya.

“Yang jahat itu sudah dikenal pasti, yang baik itu yang perlu kita berhati-hati. Bukan berprasangka sesama sendiri, tetapi berhati-hati, dengan melaksanakan tuntutan ilahi”

Apa itu kebebasan

Mungkin ramai yang akan kata, kalau macam ini tidak bebaslah. Kalau macam ini, terkekanglah wanita dalam Islam. Sudahlah tidak boleh pakai sesuka hati, berjalan pun kena ada mahram teman. Mana hak kebebasan wanita dalam Islam? Hakikatnya, kesenangan, keselesaan dan kebebasan dalam hidup di dunia, bukanlah berdasarkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sahaja, tetapi ia terletak pada betapa aman, tenang dan tenteram jiwa ketika melakukan sesuatu. Hak wanita di dalam Islam adalah untuk dihormati dan tidak dijadikan alat. Hak wanita di dalam Islam adalah untuk dijaga dan diawasi, agar sentiasa selamat dan tidak dianiaya dan diperguna.

Sekadar perumpamaan

Bukanlah perumpamaan ini ingin menyamakan wanita dengan biri-biri, tetapi ingin membawa kefahaman, agar kita dapat memahami sebahagian dari hikmah suruhan Allah. Kerana Allah itu tidak menganiaya, kerana Allah itu Maha Mengetahui makhluk yang diciptanya.

Abu ‘Aisyah Yusof Yahaya (2011-06-07)

Advertisement
Comments
  1. mickhail says:

    trimas for the sharing… smoga wanita2 di sana terkesan dengan hasil nukilan anda…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s